HIJAU DI DAHAN
BUAH TIGA SETANGKAI
SABAR MENUNGGU
WARNA BERTUKAR RUPA
TERHIDANG ATAS MEJA
Buah tomato hasil tanaman inemku yang baru. Rupanya dia pandai berbudi pada tanah. Buah anggur, tembikai, jagung, cili, dan tomato telah menghiasi lamanku. Baru ini kubelikan lagi benih sayuran dan buah 'rock melon'. Alhamdulillah, berkat tangannya yang hijau, dapatlah kami makan sayuran segar.
Terkenang zaman kecil bersama opah. Ku dan Lina membantu opah tanam pokok jagung di laman rumah. Tiba masa, jagung menghasilkan buah yang banyak. Aku dan Linalah yang paling teruja, maklum nak rasa hasil tangan yang pertama. Tak sabar kami membuang kulit jagung, namun alangkah hampanya. Lain pula yang jadi. Buah jagung yang kami tanam tidak menjadi! Botak! Bijinya boleh dikira dengan sebelah tangan. Namun yang peliknya, buah jagung hasil tangan opah sangat cantik dan sedap!
Kejadian yang tidak logik bagi kami berdua kerana kami menggunakan benih jagung yang sama, tanah yang sama (tanam tiga baris-seorang sebaris) , tanam pada masa yang sama..pendek kata segalanya sama. Rupanya genetik opah tidak turun sepenuhnya pada kami cucu-cucunya! Kami agak iri dengan opah. Bukan saja buah-buahan, bunga kekwanya juga sentiasa jadi tumpuan kerana besar dan cantik. Oleh kerana kami berdua 'kaya' dengan ciri kewanitaan...selalulah bunga-bunga opah menjadi mangsa menghiasi kamar tidur kami berdua. Bisinglah opah bila lihat pokok kekwanya dah togel. " siram pokok malas tapi bila berbunga habis kalian cantas!" Itulah kata-kata klise dari opah. Seperti biasa, bila pulang dari asrama, bunga-bunga opah tetap kami cantas!
Sekarang semuanya tinggal kenangan saja. Opah pun telah pergi menemui Ilahi. Kuharap, cucu-cucuku nanti punya kenangan yang indah bersamaku sebagaimana kudengan opah. Meski berpuluh tahun, kehilangannya masih lagi kurasa. Al fatihah buat opah tercinta.
erisya kenangan yang indah bersama orang yang tersayang pasti tersimpan dihati dan tetap segar di ingatan....
ReplyDeleteBetul tu kak sakura,
ReplyDeletesetiap kenangan tak kira manis atau pahit kan tetap bersemadi dalam hati kita. Bersyukurlah kerana kita punya kenangan indah. Ada insan yang tak merasai kasih sayang keluarga.